Sejak lima tahun kebelakangan ini, segmen SUV kompak
menunjukkan pertumbuhan yang cukup memberangsangkan. Dikala peminat kenderaan
cenderung memilih jenama seperti Hyundai, Kia, dan Toyota, Honda tidak
ketinggalan melancarkan kenderaan kompak terbaru nya.
Honda HR-V merupakan model terbaharu yang menyertai segmen
itu. Dilancarkan secara rasminya pagi tadi, HR-V dilihat berpotensi untuk
menguasai pasaran SUV kompak yang kian berkembang pesat.
Dalam tempoh sebulan, lebih 1,500 unit HR-V telah ditempah.
Jumlah itu dijangka meningkat selepas Honda Malaysia mengumumkan harganya yang
cukup kompetitif.
Hadir dalam tiga varian, HR-V boleh anda miliki pada harga
bermula RM99,800 untuk varian S, RM108,800 (varian E) dan RM118,800 seunit bagi
varian V.
“Varian HR-V Hybrid memang ada ditawarkan di pasaran Jepun.
Kami bagaimanapun masih membuat penelitian dari segi kesesuaian dan permintaan
terhadap model itu di Malaysia. Tetapi, buat masa sekarang, tiada perancangan
untuk memperkenalkan HR-V Hybrid,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Operasi
Honda Malaysia, Roslan Abdullah.
Menurut Honda Malaysia, tempoh menunggu adalah sekitar dua
hingga tiga bulan. Biarpun dengan penambahan tempahan, pihaknya akan cuba untuk
tidak membuatkan pelanggan menunggu terlalu lama.
Dipasang di kilang Honda di Pegoh, Melaka, HR-V bermaksud
Hip & Smart Runabout Vehicle. Jadi, ia cuba tampil untuk menjadi sebuah
kenderaan bergaya, praktikal dan menjimatkan bahan api.
Dibina berdasarkan kepada konsep ‘Dynamic Cross Solid’,
jentera itu menyerlahkan rekaan aerodinamik kabin seperti sebuah coupe,
bahagian bawah kenderaan yang kukuh serta penampilan penuh kuasa.
HR-V juga menampilkan Konsep Exciting H Design!!!. “H”
bermaksud Human Center (berpaksikan kepada manusia) yang memberi penekanan
kepada pemandu dan para penumpangnya. Manakala rekaan sayap yang mantap serta
gril dan lampu yang disatukan nyata menghasilkan penampilan luaran yang bergaya
dan lasak.
Bagi memberikan pemanduan berprestasi, ia dikuasakan oleh
unit enjin 1.8L i-VTEC SOHC. Enjin sama yang digunakan pada model Civic 1.8 itu
berupaya menjana sehingga 142PS @ 6,500rpm dan tork 172Nm @ 4,300rpm.
Kuasa itu kemudian dialihkan disalurkan ke roda hadapan
menerusi transmisi CVT baharu. Berbeza dengan kotak gear CVT yang ada pada
model Jazz, ia telah diprogram semula untuk disesuaikan dengan karekter
pemanduan sebuah crossover.
Di pasaran lain HR-V ada ditawarkan dalam varian pacuan
semua roda (AWD). Namun, memandangkan
kelompok sasar HR-V akan lebih menggunakannya di bandar, maka Honda Malaysia merasakan pacuan roda hadapan
(2WD) adalah lebih sesuai.
Ruang kabin kabin, HR-V mengguna pakai rekaan tangki yang
diletakkan di bahagian tengah kenderaan. Sebagaimana yang boleh dijangka, ia mampu menawarkan ruang kargo dan keluasan
yang hampir sama seperti SUV lebih besar daripadanya.
Bagi meningkatkan aspek praktikalitinya, konfigurasi tempat
duduk belakang HR-V boleh diubah suai menjadi Mode Utiliti, Tall Mode dan Long
Mode bergantung kepada kehendak pengguna.
Untuk varian V, ia dibekalkan dengan Paparan Audio bersaiz 7 inci, isyarat
membelok dengan satu sentuhan (ONE TOUCH Turn Signal), kemasukan pintar dengan
butang penghidup enjin, kawalan jelajah dan Mode ECON.
Sementara speedometer pula dihiasi dengan satu gegelung
iluminasi yang boleh bertukar warna berdasarkan kepada mode pemanduan untuk
menunjukkan gaya memandu yang ekonomikal. Material-material berkualiti seperti
pad fabrik yang lembut pula digunakan pada kebanyakan titik sentuhan penumpang.
HR-V menawarkan rangkaian ciri keselamatan aktif dan pasif
yang komprehensif. Ini termasuklah 6 beg udara (Varian V; dua beg udara SRS
pada bahagian hadapan, beg udara curtain dan beg udara sisi), kamera pandang
belakang pelbagai sudut (Varian V), Emergency Stop Signal (ESS), lampu nyalaan
siang (DRL) LED (Varian V), Hill Start Assist (HSA), Vehicle Stability Assist
(VSA) dan ISOFIX.
Teknologi-teknologi termaju seperti Automatic Brake Hold dan
Electric Parking Brake turut ditawarkan pada semua varian.
HR-V serba baharu hadir dalam lima warna iaitu kelabu
metalik, putih, perak metalik, hitam
mutiara dan warna baru iaitu hitam metalik (Ruse Black Metallic).
Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun
dengan jarak perbatuan tanpa had serta selang servis 10,000km untuk HR-V serba
baharu di semua 78 pengedarnya di seluruh negara.
Bagi mereka yang mahukan penampilan lebih sporty dan
individualistik, Honda Malaysia menawarkan dua pakej utiliti dan Modulo pada
harga bermula RM1,550.
Positif dengan maklum balas daripada pelanggan, Honda
Malaysia meletakkan sasaran untuk menjual 9,000 unit HR-V serba baharu pada
tahun 2015.
“Di sebalik pertumbuhan segmen SUV yang pesat, ia masih
didominasi oleh SUV yang lebih besar dan mahal. Ini bermakna, tidak ada SUV
yang sesuai atau mampu milik untuk mereka yang ingin menaik taraf daripada
kenderaan segmen asas. Jadi, HR-V dilihat sebagai sebuah model yang tepat untuk
mengisi kekosongan tersebut,” tambah
Roslan.
Sumber: http://www.mekanika.com.my/